h1

~harga~

November 20, 2009

Kekejaran waktu itu memenatkan
Meninggalkan waktu itu mustahil
Kehidupan seiring waktu
Tiada benar terawal
Tiada boleh terlambat

Waktu itu hak
Hak kebersamaan
Padanya diukur kejayaan
Padanya bukti kelemahan

Masa,
Andai tidak dipotong
Pasti memotong!
Tanggungjawab adalah lebih banyak dari masa

Kerana itu,
Pencuri masa itu mulia
Berlaku adil pada dunia
Akhirat dijunjung matlamat

Kerana itu
Masa terlalu berharga

18/11/09
10.10 am
bilik 205
kuliah syariah
uni. yarmouk
irbid
jordan

h1

~ terasa semangat ~

September 28, 2009

dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani hambaNya.

selamat kembali ke sekolah diucapkan kepada semua rakan-rakan yang memulakan pengajian bagi sesi yang baru. semoga semester yang baru menjadi lebih baik dari semester yang lepas.

BKMPJ (badan kebajikan mahasiswa pahang jordan) telah mengadakan program ramah mesra dan hari raya bersama pegawai atase pendidikan yayasan pahang di timur tengah iaitu ustaz ahmad fared bin mohd din.

tujuan utama bukan ingin mengisar perjalanan program tetapi input yang diperolehi semasa program tersebut berlangsung.

cara dan teknik pengucapan awam yang digunakan ustz fared masih sama seperti dulu. seperti dalam kuliah, cuma berbeza jawatan yang dipegang. teknik yang baik untuk diaplikasikan. :)

nasihat dan dorongan yang sentiasa meningkatkan motivasi diri.

berkaitan dengan persatuan, kehidupan dalam masyarakat arab, motivasi dalam pelajaran dan cara menjadi dewasa. hampir setahun meninggalkan malaysia. dalam masa itu juga sunyi dari mendengar motivasi dari ustz malah motivator yang lain. hanya motivasi dari diri. hu hu

saat datang ke mesir dulu, semangat datang kesana juga kerana ustz, rindu pada bebelan keramat. kini berjaya didengari dan moga-moga mampu melaksanakan apa yang terimaginasi dalam minda ini.

kadang-kadang dalam hidup kita akan merasa tidak bersemangat dan kurang keinginan dalam melakukan sesuatu. dan motivasi itu akan meningkatkan kembali semangat yang hilang.

nasihat ustz berkisar mengenai persatuan. persatuan itu perlu tetapi bukan keutamaan. ingat hadaf dan jelaskan matlamat. hidup di negara Arab haruslah tahu dan pandai bermuamalah dengan mereka. mesti paksa diri untuk menguasai bahasa arab. (ya ALLAH kuatkan semangat kami).

malah, kata-kata ustz yang ditekankan ialah – untuk mumtaz itu tidak susah tetapi kita yang memilih jalan menampakkan dan menjadikannya sukar- ::matlamat sudah jelas, strategi sudah mantap, usaha perlu istiqomah selari dengan doa dan redha ALLAH::

menjadi dewasa dan matang dengan pengalaman. kutip dan ambil seberapa banyak pengalamn yang boleh ketika ini kerana akan menjadikan kita lebih sedikit dari yang lain. -berusaha menjadi terbaik-

terima kasih ustz. :)

pelbagai cara dan gaya untuk kita meningkatkan motivasi dalam diri. bergantung pada individu. dan antara mendengar  pengalaman dan cara hidup orang-orang lama, cermah dan bacaan motivasi, menjelaskan matlamat dan banyak lagi. tetapi perlu diingat bahawa itu hanyalah sampingan motivasi.

dan cara yang paling utama ialah kembali merasakan diri adalah hambaNya. merenung kembali kenapa kita dijadikan. matlamatkan hanya ALLAH yang Esa. nescaya jika jiwa lemah akan kembali kuat, jika jiwa hambar akan kembali berseri dan jika jiwa mati insyaALLAH akan hidup kembali. ini semua jika kita tahu kita adalah hambaNya.

motivasi hanyalah sebagai nilai tambah dalam diri untuk lebih bersemangat. untuk hidup dalam keadaan yang kita tahu peranan dan keadaan kita.

rindu suasana IKIP terubat. semangat belajar di tahun akhir berkobar. strategi juga disusun supaya mantap. dan yang penting usaha moga istiqomah.

moga tahun terakhir di bumi jordan mampu mengukir sejarah gemilang buat diri dan sahabat yang lain. selagi jasad mampu bergerak, nafas mampu menggedarkan darah, selagi mata masih celik, badan belum dikambus tana,h minta ALLAH istiqomahkan kita dalam ilmuNya.

esok urusan tasjil madah. Ya ALLAH permudahkan urusanku dan sahabat semua. telah datang sama-sama, belajar sama-sama, balik pun nak sama-sama, malah berjaya pun sama-sama. maqbulkanlah doa kami ya ALLAH…

2.18 am

29/09/09

byt andaleep

irbid jordan

h1

~ selamat hari raya ~

September 19, 2009

assalamualaikum…

terlalu lama meninggalkan blog ini rasanya. hampir dua bulan. menulis pun tidak dalam tempoh ini. cuti semester yang telah lama bermula malah akan berakhir pada prmulaan syawal nanti.

cuti semester yang seharusnya panjang mencapai sebulan lebih diisi dengan jaulah ke ardul kinanah. kota purba seribu rasa. banyak pengalaman yang dikutip disana. malah turut bertuah kerana berkesempatan mengikuti kelas yang diaadakan oleh Syeikh Nuruddin Marbawi Al Banjari Al makki selama 2 minggu. kelas yang diadakan bermula ramadhan sehingga ramadhan yang ke 21. semoga diberikan ALLAH keberkatan dan kekekalan ilmu. moga mampu diamalkan dan disampaikan. minta di permudahkan oleh ALLAH. ameenn.[ tarbiyah ardul kinanah mengajarku erti sabar dan bersyukur] alangkah…

jadi, selama di mesir tidak berkesempatan umtuk mengupdate blog. maknanya, tiada juga ucapan selamat menyambut ramadhan. yang kini sudah sampai kepenghujungnya. alangkah..[semoga temui ramadhan akan datang..ameen]

jadi ucapan selamat menyambut ramadhan menajdi terlalu lambat. terpaksa ditukar kepada, semoga kita berjumpa ramadhan yang akan datang. ALLAHumma balighna ramadhan. ameenn.

berakhirnya bulan yang mulia ini, maka menjelma bulan kemenangan. syawal. tradisi di malaysia, syawal disambut begitu meriah. berbeza dengan jordan. ramadhan yang lebih meriah. lain tempat lain adat. masing-masing ada kelebihan yang tersendiri.

diri asyik terkenang, alangkah manis dapat menyambut ramadhan di bumi jordan lagi. sungguh. kemeriah yang jauh sekali tiada di malaysia. [walaupun sekarang masih di jordan]. bermulanya ramadhan, masjid menjadi penuh, sama dengan malaysia, cuma semakin akhir, semakin ramai dan padat masjid. berbeza dengan malaysia, semakin berakhir ramadhan, semakin sedikit, tidak sama seperti awal-awal ramadhan. masing-masing menyibukkan diri dengan persiapan menjelang syawal. persiapan merebut lailatul qadar seakan tenggelam dan hambar. alangkah…

sungguh diri inginkan merasai suasana ini lagi. di mohon semoga dimakbulkan. [mungkinkah kembali ke bumi jordan lagi???] alangkah…

syawal kedua tanpa keluarga di sisi. alhamdulillah, masih mampu mengawal emosi. :)

malah, sahabat-sahabat juga hampir semua beraya di malaysia. yang tinggal hanya 9% dari pelajar melayu di irbid. alangkah sedikit. tapi tidak bermakna sambutan tidak meriah. malam raya seperti ini, masih juga memasak bersama, cuba menimbulkan suasana raya walaupun hanya sekadar dan besederhana. tapi yang pasti tetap bermakna.

setelahsolat  isya’, sekali lagi pelajar melayu diberi peluang melanunkan takbir raya di masjid jamiah. takbir versi malaysia yang mendayu dan membawa pilu. kusangka diri kebal dan kental. tetapi air mata tetap mengalir. terkenang keluarga dimalaysia. yang lagi bertambah sedih, dapatkah ku merasa pengalaman seperti ini lagi? dapatkah daku bertemu ramadhan lagi? dapatkah aku merasi perasaan ini lagi? alangkah…

dikesempatan ini, diucapkan selamat menyambut syawal. maaf zahir dan batin. kullu 3am wa antum bi alfin kheir..ameenn…

bagi kenalan yang mengenali diri ini, jemput beraya kerumah yea. tak kira di malaysia malah di jordan ini. kedatangan anda dialukan..:)

maaf zahir batin

p/s : mak izin nak raya sini lagi boleh??? hehe..tapi tetap rindu dengan keluarga kat malaysia. suasana beraya dan berziarah…alangkah…

manusia sentiasa inginkan dua, amat sukar memilih yang satu. kos lepas pasti ada selagi hidup ini berjalan.

19/09/09

byt andaleep

irbid jordan

h1

~ wakaf dan ekonomi ~

August 13, 2009

WAKAF DAN EKONOMI

Oleh : www.niey21.wordpress.com

Setiap manusia bebas memiliki harta. Bagi pendapat Islam, harta sebenarnya merupakan milik ALLAH SWT sepenuhnya. Manakala manusia hanyalah sebagai khalifah di muka bumi ini. Malah manusia juga ditaklifkan untuk menguruskan dan menggunakan harta tersebut dengan baik dan mendatangkan faedah padanya.

Islam juga mengiktiraf pemilikan khas dan pemilikan umum. Berbeza dengan sistem ekonomi kapitalis yang hanya mengiktiraf pemilikan khas sahaja tanpa mengiktifar pemilikan umum. Malah turut berbeza dengan sistem ekonomi sosialis yang mengiktifar pemikan umum tanpa mengiktiraf pemilikan khas. Inilah keseimbangan dalam Islam. Mengiktiraf kedua-dua jenis milikan.

Pemilikan khas ialah pemilikan individu. Tidak berkongsi dengan sesiapa pun. Manakala pemilikan umum pula ialah pemilikan yang diumumkan. Semua orang dibenarkan untuk mengambil manfaat dan menggunakan harta tersebut. Milikan ini boleh berubah dari milikan khas kepada milikan umum dan sebaliknya. Bagaimana milikan ini boleh berubah? Antara cara pengagihan milikan adalah melalui wakaf.

Wakaf boleh ditakrifkan sebagai menahan harta dan memberi manfaat pada jalan ALLAH (1) .  wakaf juga merupakan salah satu cara menginfaqkan harta. Selain wakaf, zakat dan sedekah juga merupakan cara untuk menginfaqkan harta.

Sebagai takrifan mudah , wakaf adalah penyerahan harta untuk dikongsi manfaat oleh semua orang tanpa diskriminasi. Konsep wakaf adalah sama seperti sedekah, tetapi berbeza kepada siapa yang akan mengambil harta yang diberikan itu.

Ayat ALLAH SWT dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud:

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) ALLAH, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan dengan perkataan  mereka itu dengan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi) mereka beroleh pahala disisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlaku kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.  Ayat 262

Sejarah permulaan wakaf ini berlaku sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Saidina Umar telah mewakafkan tanah rampasan perang Khaibar kepada umat Islam. Anaknya Abdullah bin ‘Umar RA menyatakan bahawa ayahnya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang kepada Rasulullah SAW untuk meminta pandangan tentang tanah itu, maka katanya:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar, dimana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah) apakah yang engkau perintahkan kepadaku dengannya?.” Maka sabda Rasulullah SAW: “Jika engkau hendak, tahanlah (bekukan) tanah itu, dan sedekahkan manfaatnya.” “Maka ’Umar telah mewakafkan hasil tanahnya itu, sesungguhnya tanah itu tidak boleh dijual, tidak boleh dihibah (diberi) dan diwarisi kepada sesiapa.” Katanya lagi: “’Umar telah menyedekahkannya kepada orang-orang fakir, kaum kerabat, hamba yang baru merdeka, pejuang-pejuang di jalan Allah, ibn Sabil dan para tetamu. Tidaklah berdosa sesiapa yang menyelia tanah wakaf itu memakan sebahagian hasilnya sekadar yang patut, boleh juga ia memberi makan kawan-kawannya, tetapi tidaklah boleh ia memilikinya.”(2)

Wakaf juga memberi peranan dalam ekonomi. Harta yang diwakafkan mampu memberi kesan secara tidak langsung kepada aktiviti dan kelancaran ekonomi sesebuah negara.

Dengan mewakafkan harta, penggunaan terhadap harta tersebut akan mejadi utiliti. (penggunaan secara penuh). Keadaan ini bermaksud, andai seorang hartawan memiliki harta yang banyak. Sebagai contoh sebanyak 100 hektar tanah. Beliau mengalami kesukaran untuk menguruskan harta yang banyak. Keadaan ini akan membawa kepada ketidak utiliti terhadap penggunaan harta tersebut. Keadaan ini juga menyebabkan berlaku pembaziran sumber kerana sumber wujud, tetapi tidak digunakan dengan sebaiknya.

Apabila beliau mewakafkan sebahagian hartanya kepada umat Islam, keadaan akan berubah. Sebelum ini kemampuan pengurusan terhadap harta tersebut terbatas, tetapi setelah di wakafkan, ramai orang mampu untuk menguruskan harta tersebut. Pembaziran sumber tidak akan berlaku dan harta tersebut digunakan secara utiliti.

Wakaf juga secara tidak langsung akan membawa kepada pengurangan nisbah pengangguran. Harta wakaf yang telah diwakafkan perlu diusahakan agar memberi manfaat kepada seluruh umat manusia. Manusia yang tidak mempunyai pekerjaan akan memiilki pekerjaan dengan adanya harta wakaf. Penganggur  akan memiliki pekerjaan dan pendapatan. Keadaan ini akan membawa kepada pengurangan jumlah pengangguran dalam sesebuah negara.

Seterusnya, dengan mewakafkan harta, golongan penganggur yang selalunya dikaitkan dengan golongan miskin, juga akan berkurangan. Golongan miskin akan mempunyai pekerjaan dan pengangguran. Mereka juga mampu menyara diri dan memiliki barang keperluan dengan bekerja. Maka, keadaan ini akan membawa kepada pengurangan kadar kemiskinan dalam sesebuah negara.

Apabila golongan miskin memiliki pendapatan, ini bermakna mereka juga mampu untuk memiliki barang keperluan asas. Kehadiran mereka dalam pasaran ekonomi juga akan berlaku. Malah, dengan kehadiran mereka ini, turut membawa kepada perluasan dalam pasaran. Golongan miskin yang sebelum ini tidak menyertai pasaran mampu berbuat demikian kerana mempunyai pendapatn melalui harta wakaf.

Pasaran menjadi semakin luas dan membawa kepada peningkatan permintaan dalam pasaran. Peningkatan permintaan dalam pasaran akan membawa kepada peningkatan dalam penawaran. Pengeluar sedaya upaya akan memenuhi permintaan dari pengguna yang bertambah. Pengeluar akan meningkatan pengeluaran terhadap barangan mereka.

Keadaan ini turut berlarutan dan membawa kepada peningkatan pelaburan yang dilakukan oleh pengeluar. Bagi meningkatkan pengeluaran, pengeluar mesti meningkatkan pelaburan terlebih dahulu. Apabila pelaburan bertambah, ini bermakna peningkatan ekonomi dalam  sesebuah negara juga akan bertambah.

Walaupun hanya dengan mewakafkan harta, banyak manfaat akan diperolehi. Kesan yang baik ini bukan sahaja dialami oleh individu, malah seluruh masyarakat dan negara turut mendapat hasilnya.

Selain mendapat pahala mewakafkan harta, insan yang berhati mulia ini juga mungkin akan mendapat pahala kerana membantu orang lain. InsyaALLAH. Usah utamakan pahala yang akan dimilki kerana itu belum pasti tetapi matlamatkan redha ALLAH yang hakiki.

Selain ekonomi, wakaf juga secara tidak langsung akan memberi kesan kepada sosial. Masalah sosial juga akan berkurangan dengan peningkatan harta wakaf. Keadaan ini belaku kerana kemiskinan dan pengangguran telah berkurang. Golongan miskin memiliki pendapatan dan mereka tidak lagi terdesak untuk medapatkan barangan keperluan asas.

Kes-kes jenayah juga akan berkurang seiring dengan pengurangan kadar kemiskinan. Sedia maklum bahawa seringkali masalah sosial ini berlaku kerana golongan miskin ini terdesak untuk memiliki keperluan asas. Jadi apabila mereka mampu memiliki barangan berkenaan jadi, masalah sosial akan berkurangan.

Wakaf juga akan membawa kepada timbulnya perasaan kasih sayang sesama manusia, sikap suka membantu dan prihatin terhadap masyarakat yang susah. Malah banyak lagi sifat-sifat mahmudah akan menjelma dalam diri. Akhlak juga akan menjadi semakin berkualiti. Bukan sahaja ekonomi meningkkat, tetapi kahlak rakyat juga semakin tinggi. Inilah kemajuan yang selari dan patut dimiliki.

Apabila sesebuah Negara itu stabil dari sudut ekonomi dan sosial, maka secara tidak langsung, politik juga akan turut stabil. InsyaALLAH. Rakyat mampu hidup dengan lebih baik dan selesa malah tenteram meneruskan kehidupan dengan beribadat kepada ALLAH. Begitulah peranan harta wakaf, walupun hanya kecil tetapi kesannya cukup besar.

Kesan-kesan ini hanya akan berlaku apabila harta wakaf ini diuruskan dengan baik dan efisyen. Tiada penyalah gunaan harta dan sebagainya. Kejujuran dan amanah amat penting dalam pengurusan harta wakaf ini. Institusi khas mesti dibina bagi menjamin bahawa harta wakaf mampu diuruskan dengan baik tanpa berlaku ketidak lancaran.

Sebagai pengakhiran, marilah kita bersama-sama membina cita-cita untuk mengumpulkan harta, bukan untuk bermegah, tetapi menjadi jalan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT. Amen.

Nota kaki

(1)   Syed Sabiq (fiqh Al-sunnah)

(2)   http://ilmuone.wordpress.com

rujukan

1)      Al-quran Al karim\

2)      Fiqh muamalat

3)      http://ilmuone.wordpress.com/2007/02/22/wakaf-dan-peranannya-dalam-pembangunan-ummah/

h1

~ rahsia hati ~

August 5, 2009

~~

Hati diombak keresahan

Dilihat tenang membiru

Di dalam gelora menghempas

Penuh rahsia tersimpan

Membenam dari dilihat pandangan

Hati yang tenang

Membiru kejauhan

Jarang terlihat ombak membadai

Tapi hanya Ilahi

Mampu memahami gelora hati

Usah diikut kata hati

Walau dirasa itu jawapan pasti

Tapi,

ALLAH juga punyai strategi

Sebagai hamba, redha itu mesti

Berharap pasti hikmah akan terjadi

Yakin patuhi pada Ilahi

Bukan niat hati ini

Menukar tenang kepada gelora

Menukar biru laut kepada air mata

Menukar cinta pada sahabat sahaja

Tapi, itu kehendak mereka

Dan diri mengikut kata

Untuk kemaslahatan bersama

Walau hati tak rela

Tapi katamu ku semat diminda

Hikmah itu pasti ada

Dan daku cuba percaya

Perancangan ALLAH tiada bandingannya

Usah dirimu menyelam lagi

Menerokai rasa hati

Pergilah sahaja mengikut kata hati

Tapi yang pasti

Bukan diriku menjadi destinasi

Kerna hati ini

Bukan boleh bertukar ganti

Biar kita bersendiri

Menyelam hanya pada hati sendiri

Tak perlu saling menjagai

Tak usah berjanji lagi

Kerna itu sukar terjadi

Malah mungkin sekadar fantasi

Tanamkan dalam hati

Ini adalah realiti

Bukan seindah imaginasi

Tolong

Bagiku peluang belayar lagi

Ingin ku tinggal gelora ini

Kerana ia membuatku tercari-cari

Apa sebenar rasa hati ini

Kini yakinku disisi

Harap dikau mengerti

Menjauh bukan makna melupai

sekadar  ruang mengurus hati

Hanya kenangan perlu dikenangi

Sebagai panduan dalam pelayaran ini

Moga kau sampai destinasi

Hidup diredhai Ilahi

Harapku hanya disini

Jangan salami hatiku ini

Kerana rahsia itu bukan untukmu lagi

Selamat pergi farhi

Maafi diriku ini

~~